Hari ini Selangor diberi cuti peristiwa selepas muncul sebagai juara keseluruhan SUKMA 2026.
Bila baca berita ini, tiba-tiba saya teringat kembali zaman saya sendiri bertanding di SUKMA.
Saya pertama kali menyertai SUKMA pada tahun 2004 ketika berusia 17 tahun.
Alhamdulillah, saya menang pingat emas.

Kalau tengok pada rekod, ceritanya nampak pendek.
SUKMA 2004 — Gold Medal.
Tapi bagi saya, perjalanan menuju pingat emas itu sebenarnya tidak bermula pada tahun 2004.
Ia bermula hampir 8 tahun sebelumnya, ketika seorang budak berusia 9 tahun mula-mula menyarungkan uniform taekwondo.
Dan perjalanan saya bukanlah bermula dengan mengumpul pingat emas.
Saya bermula dengan mengumpul pingat perak.
Masuk pertandingan, sampai final… kalah.
Masuk lagi, kalah lagi.
Sampai satu tahap, saya mula ada mental block sendiri.
Macam dah terbiasa berada di tempat kedua.
Bila masuk final, bukan lawan di depan sahaja yang perlu saya lawan.
Kadang-kadang saya kena lawan suara dalam kepala sendiri yang dah mula percaya,
“Aku ni memang setakat nombor dua kot.”
Bila dikenang kembali, mungkin itulah antara latihan mental paling awal dalam hidup saya.
Bukan belajar bagaimana untuk menang.
Tetapi belajar bagaimana untuk terus datang selepas kalah.
Terus berlatih apabila hasil belum seperti yang kita mahukan.
Terus mencuba walaupun pernah kecewa.
Dan belajar untuk percaya semula kepada diri sendiri apabila kita sendiri pernah meragui kemampuan kita.
Sebab itu apabila akhirnya saya berdiri sebagai juara SUKMA pada usia 17 tahun, kemenangan itu membawa makna yang sangat berbeza buat saya.
Orang nampak satu pingat emas pada tahun 2004.
Saya nampak perjalanan seorang budak 9 tahun yang mengambil masa hampir 8 tahun untuk sampai ke situ.

Dan waktu itu, saya sendiri tidak tahu bahawa SUKMA pertama tersebut sebenarnya sedang membuka satu demi satu pintu yang lebih besar dalam kehidupan saya.
Daripada SUKMA, terbuka peluang untuk saya ke World Junior Taekwondo Championships, di Korea.
Kemudian terbuka pula jalan untuk saya menyertai Pasukan Kebangsaan.
Selepas SUKMA 2004, saya kembali bertanding pada usia 19 tahun dalam SUKMA 2006 dan sekali lagi pada usia 21 tahun dalam SUKMA 2008.
Alhamdulillah, rezeki saya memenangi pingat emas dalam ketiga-tiga edisi tersebut.
17 tahun. 19 tahun. 21 tahun.
Tiga edisi SUKMA yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya.

Tetapi daripada ketiga-tiganya, emas pertama pada tahun 2004 tetap paling dekat di hati.
Kerana selepas bertahun-tahun mengumpul pingat perak, akhirnya saya tahu bagaimana rasanya berjaya melepasi batas yang selama ini banyak berada dalam kepala sendiri.
Sukan akhirnya memberi saya lebih daripada pingat
Bila saya pandang semula perjalanan itu hari ini, saya sedar betapa banyak pintu kehidupan saya sebenarnya dibuka melalui sukan.
Daripada seorang budak yang hanya tahu datang latihan dan bertanding, sukan membawa saya kepada peluang pendidikan.
Peluang memasuki Sekolah Sukan.
Peluang menyambung pengajian prauniversiti dan seterusnya ijazah di UPM.
Peluang mendapat biasiswa.
Peluang mewakili negara.
Peluang merantau, bertanding dan melihat dunia luar pada usia yang masih muda.
Tetapi semakin saya berusia, semakin saya sedar bahawa hadiah paling besar daripada sukan sebenarnya bukan semua itu.
Ia adalah pembentukan diri.
Taekwondo mengajar saya tentang disiplin.
Tentang melakukan sesuatu berulang kali walaupun kita belum nampak hasilnya.
Tentang menerima bahawa kita boleh berusaha bersungguh-sungguh tetapi masih boleh kalah.
Tentang bangun semula selepas kecewa.
Tentang mengurus tekanan.
Tentang mengawal emosi.
Tentang menjaga fizikal dan mental.
Dan mungkin yang paling penting, ia mengajar saya bahawa kegagalan bukan semestinya tanda kita tidak mampu. Kadang-kadang kita cuma belum sampai masanya.
Banyak perkara yang saya gunakan dalam kehidupan dan kerjaya hari ini, rupanya sudah mula diasah di gelanggang sejak saya masih kecil.
Tapi ada satu benda kelakar tentang semua pingat ni… 😆
Saya sebenarnya bukan seorang yang sentimental sangat atau pandai menjaga barang kenangan.
Kalau orang bayangkan semua pingat saya tersusun cantik dalam almari kaca…
Memang jauh sekali. 😆

Pingat-pingat SUKMA, SEA Games dan kejohanan lain yang dikumpulkan bertahun-tahun tu, kebanyakannya saya longgokkan sahaja dalam plastik.
Macam dalam gambar ni lah.
Malah satu pingat SUKMA 2008 pun sekarang saya tak tahu pergi mana.
Cari-cari, masih tak jumpa. 😂
Tetapi mungkin kerana semakin dewasa, cara kita melihat sesuatu pencapaian juga berubah.
Dulu kita kejar pingat.
Hari ini apabila saya melihat kembali semua pingat yang berlonggok dalam plastik itu, saya sedar…
Nilai sebuah pingat bukan sangat pada pingat yang kita simpan, tetapi pada siapa kita menjadi sepanjang perjalanan untuk mendapatkannya.
Pingat boleh kusam.
Reben boleh rosak.
Malah ada yang boleh hilang entah ke mana. 😆
Tetapi disiplin, pengalaman, keberanian, kegagalan, persahabatan dan segala pelajaran yang dibawa daripada perjalanan itu akan kekal menjadi sebahagian daripada diri kita.
Sebab itu bila melihat atlet-atlet muda bertanding di SUKMA hari ini, saya rasa seronok.
Mungkin bagi kita yang menonton, SUKMA hanyalah satu temasya sukan.
Ada yang menang.
Ada yang kalah.
Ada yang pulang membawa pingat dan ada yang pulang dengan kekecewaan.
Tetapi kita tak pernah tahu…
SUKMA mungkin sedang menjadi pintu pertama kepada sesuatu yang jauh lebih besar dalam kehidupan seseorang atlet muda.
Mungkin pintu kepada kejohanan dunia.
Mungkin pintu kepada pendidikan.
Mungkin pintu kepada kerjaya.
Mungkin juga dia tidak akan terus menjadi atlet suatu hari nanti.
Tetapi disiplin, keberanian dan ketahanan yang dibina sepanjang perjalanan itu mungkin akan membantunya dalam apa sahaja jalan kehidupan yang dipilih selepas ini.
Saya sendiri tidak tahu semua itu ketika berusia 9 tahun.
Saya juga tidak tahu ketika mengumpul pingat-pingat perak dan berkali-kali kecewa.
Dan saya masih tidak tahu sejauh mana perjalanan itu akan membawa saya ketika memenangi SUKMA pertama pada usia 17 tahun.
Kita memang jarang nampak keseluruhan perjalanan ketika sedang melaluinya.
Kadang-kadang apa yang kita anggap sebagai kegagalan hari ini sebenarnya sedang menyediakan kita untuk sesuatu yang lebih besar pada masa hadapan.
Tahniah Selangor atas kejayaan muncul juara keseluruhan SUKMA 2026.
Tahniah juga kepada semua atlet, jurulatih, ibu bapa dan setiap individu yang berada di belakang perjalanan mereka.
Kepada atlet yang menang, nikmati kemenangan itu.
Kepada yang belum berjaya kali ini, jangan terlalu cepat menganggap perjalanan anda sudah berakhir.
Saya pernah menjadi budak yang banyak mengumpul pingat perak juga. 😆
Menang itu satu hadiah.
Tetapi perjalanan yang membentuk siapa kita untuk sampai ke sana, kadang-kadang itulah hadiah yang jauh lebih besar. 🤍
Selamat bercuti orang Selangor. 😆
