“Dulu saya sangka banyak property tanda kejayaan. Rupanya ia jadi liabiliti yang menjerat. Tahun 2025 Allah izinkan saya mulakan Road to Free Debt, perjalanan untuk bebas hutang sebelum usia 40.”
Dari Beban ke Kelegaan
Ramai orang impikan hidup bebas hutang. Ada yang berjaya, ada yang masih berjuang. Saya sendiri pernah rasa terhimpit dengan komitmen bulanan, tersilap buat keputusan kewangan, malah pernah “tersontot” dengan financing.
Tapi Alhamdulillah, tahun 2025 menjadi turning point penting dalam hidup saya. Inilah kisah sebenar perjalanan saya, bagaimana saya nekad memulakan Road to Free Debt.
Alhamdulillah, dari April hingga Oktober 2025.
Baki hutang saya di bank dah menyusut hampir setengah juta ringgit!
👉 Dari RM1,245,909 ➝ RM758,282 sahaja. Dalam masa 6 bulan, Allah izin rasa beban hutang makin ringan sedikit demi sedikit.

www.nadiamahamat.com
03/04/2025

www.nadiamahamat.com
10/10/2025
Bagaimana Semua Ini Bermula
Perjalanan ini bukan tiba-tiba. Ia bermula selepas saya perlahan-lahan belajar mentaddabur makna ayat-ayat Al Quran. Bila saya banyak habiskan masa untuk belajar dan fahamkan kalam Allah, ia membuatkan saya slowly ubah visi dan gaya hidup ke arah hidup yang lebih sederhana.
Dan dalam Al Quran, jika kita perasan, ayat paling panjang bukan cerita pasal puasa atau solat, tapi ayat paling panjang bercerita tentang hutang dan muamalat. Ini menunjukkan betapa pentingnya pengurusan hutang ketika kita masih hidup iaitu merujuk kepada Surah Al-Baqarah ayat 282.
Ayat itu benar-benar membuka mata hati saya untuk nekad membebaskan diri daripada hutang sebab sebelum ni kebanyakkan hutang yang saya buat adalah untuk memenuhi kehendak dan nafsu.

Ditambah pula, Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Roh seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga ia dilunaskan” (HR Tirmizi).
Bahkan Baginda pernah enggan menyolatkan jenazah orang berhutang. Ini menunjukkan hutang bukan sekadar urusan dunia, tetapi juga tanggungan akhirat.
Tahun 2025: Turning Point
Awal tahun 2025, saya nekad restructure semula kewangan:
• Pindah rumah untuk kurangkan komitmen.
• Jual satu property walaupun tak untung besar.
• Settle hutang jahat sikit demi sikit.
Dulu impian nak kumpul banyak property konon untuk “investment”.
Tapi bila tengok balik selepas 5 tahun, property itu bukan jadi aset, malah jadi liabiliti dan setiap bulan “negative cashflow”.
Keputusan untuk lepaskan memang perit, tapi itulah yang membuatkan rekod hutang makin bersih.
Hasilnya, dalam masa 6 bulan, hutang menyusut hampir RM487,627. Walaupun baki masih ada sekitar RM758k, tapi rasa lega itu sangat besar. Sekurang-kurangnya ansuran bulanan makin ringan.
Tersentap dengan Ayat Allah
Target utama saya, nak bebas hutang sebelum usia 40. Nampak macam mustahil, tapi saya yakin kalau Allah izinkan, tiada siapa boleh halang.
Lebih-lebih lagi bila saya sampai pada ayat ini:
“Perbuatan bermegah-megahan dan berlumba-lumba telah melalaikan kamu”(At-Takāthur: 1)
Ayat ini benar-benar menyentap hati saya. Dunia selalu ajar kita untuk berbangga dengan harta dan kejayaan, sedangkan hakikatnya semua itu hanya sementara, malah menjadi beban yang mengikat kita.
Semakin banyak hutang, semakin saya rasa terikat dengan dunia, hilang rasa bebas dan hilang juga ketenangan bila memikirkannya.

Ketenangan dengan Surah Seribu Dinar
Saya tak nafikan, dalam perjalanan untuk restructure kewangan, emosi saya sering turun naik. Kadang kala rasa bimbang, risau tentang hari yang mendatang, sampai mengganggu ketenangan harian.
Namun setiap kali hati resah, saya kembali pada ayat Allah iaitu ayat Seribu Dinar.
Saat membacanya, saya rasa seolah-olah Allah sedang memeluk jiwa saya dengan Janji-Nya.
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya…” (Surah At-Talaq: 2-3)

Ayat ini menjadi sumber ketenangan saya. Ia mengingatkan bahawa selama kita bertakwa dan bertawakkal, Allah sentiasa cukupkan rezeki kita dan sentiasa ada bersama.
Doa & Harapan
Sekarang fokus utama saya bukan lagi kumpul banyak harta, tetapi selesaikan hutang, terutama sekali hutang dengan Allah.
Doakan saya istiqamah dalam perjalanan Road to Free Debt ini. Dan bila Allah izinkan, target seterusnya nak tunaikan Haji di usia 40-an, insyaAllah.
Rezeki itu milik Allah. Semoga Dia cukupkan, berkatkan, dan mudahkan jalan untuk kita semua.
Penutup
Perjalanan bebas hutang bukan mudah. Ada jatuh, ada bangun. Tapi setiap kali rasa hampir putus asa, saya kembali pada ayat-ayat Allah. Itulah sumber kekuatan sebenar.
Kalau anda juga sedang bergelut dengan hutang, jangan malu untuk mula semula. Restructure, lepaskan liabiliti yang membebankan, dan paling penting bertawakal sepenuhnya kepada Allah.
Moga kita semua dipermudahkan untuk sampai ke destinasi paling indah, hidup bebas hutang, dunia dan akhirat.