Dulu hidup saya penuh dengan checklist. Fokus nak capai itu dan ini. Nak berjaya cepat. Nak beli itu, nak miliki ini. Buat pembiayaan sana sini, berlumba-lumba nak rasa macam “orang berjaya”.

Bukan tak bagus ada goals checklist. Setiap orang wajib ada goals checklist supaya hidup lebih tersusun untuk capai matlamat. Cumanya, bila matlamat itu tidak bersandarkan Quran dan hadis, kita mudah cenderung dipandu oleh nafsu duniawi.
Kononnya itu financial freedom. Kalau ada rumah besar, kereta hebat, duit simpanan bertambah, barulah hidup terasa selamat.
Malah, bila kita ada duit, kadang terasa macam dunia ni kita yang punya. Semua orang dengar cakap kita. Seolah-olah semuanya dalam kawalan.
Tapi bila Allah turunkan ujian, barulah sedar… rupanya itu semua bukan jaminan. Harta, pangkat, kemewahan, semua itu tak pernah beri ketenangan yang sebenar.
Waktu tu baru betul-betul tersentak. Quran dah lama ingatkan kita:
“Ketahuilah, bahawa kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau, perhiasan, bermegah-megahan antara kamu serta berlumba-lumba dalam kekayaan dan anak keturunan. Seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian (tanaman itu) menjadi kering, lalu kamu lihat warnanya kuning, kemudian hancur. Dan di akhirat ada azab yang keras, dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu” (Surah Al-Hadid_57:20)
Ayat tu tepat mengena. Realitinya, matlamat hidup bukan sekadar nak jadi kaya. Bukan semata-mata nak capai financial freedom. Matlamat sebenar adalah rahmat dan redha Allah.
Dan bila difikirkan, hidup ini sepatutnya nak rasa cukup. Tidak lagi terikat dengan hutang piutang. Supaya bila-bila masa Allah panggil kita, kita sudah bersedia. Hati bebas, tidak terikat dengan dunia.
Sebab kaya atau miskin, semua ada peluang. Sedekah tak menunggu kita jadi jutawan. Allah lihat pada istiqamah, bukan jumlah.
Sekarang fokus saya adalah untuk perbaiki diri supaya menjadi hambanya yang lebih baik, dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada orang lain mengikut kemampuan yang saya ada. Insyaallah dengan hidup berpandukan memahami quran dan hadis, semoga kita mendapat rahmat dan redha Allah swt.

Hidup ini bukan tentang living the dream. Hidup ini tentang mengenal Allah. Tentang kembali kepada Quran.
Wallahu’alam.